Umum

Program BI1M, Peluang Besar Untuk Graduan Meningkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Secara PERCUMA!

program-bahasa-inggeris-1-malaysia

Baru-baru ini kerajaan giat mempromosikan satu modul istimewa kepada orang awam iaitu program Bahasa Inggeris 1 Malaysia (BI1M).

Ia merupakan satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dengan kerjasama SOLS 24/7.

Kerajaan sudah merangka dan mengambil beberapa tindakan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan atau jobseeker di Malaysia seperti mewujudkan program Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dan baru-baru ini program Bahasa Inggeris 1 Malaysia.

Peluang-peluang besar sebegini pastinya direbut-rebut oleh orang ramai di luar sana dan anda pastikan juga tidak ketinggalan untuk menyertainya bagi membantu menambah nilai dan kebolehpasaran anda sebagai seorang graduan yang berdaya saing.

Sebelum ini pihak JobKartel ada berkongsikan mengenai antara punca-punca pengangguran yang berlaku di Malaysia mengikut kajian Job Street iaitu :

  1. Masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah: 56%
  2. Masalah sikap dalam diri yang teruk: 37%
  3. Mengharapkan gaji yang tidak realistik: 33%
  4. Kemahiran yang ada tidak berpadanan dengan kehendak pasaran: 30%
  5. Terlalu memilih kerja dan syarikat: 28%
  6. Tiada kemahiran menyelesaikan masalah: 26%
  7. Tahap pengetahuan yang lemah: 24%

Apabila dilihat melalui 7 punca ini, No 1 yang menguasai statistik merupakan masalah penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah. Ini merupakan realiti yang perlu dihadam hari ini.

Kerajaan melancarkan program seperti SL1M & BI1M ini adalah untuk cuba menyelesaikan masalah yang berlaku dan dalam pada masa yang sama meningkatkan kebolehpasaran graduan di Malaysia.

Kerajaan tidak boleh memaksa mana-mana industri untuk mengambil graduan kita sekiranya graduan itu sendiri tidak berkualiti untuk dijadikan sebagai aset kepada syarikat.

Di antara cara bantuan kerajaan kepada orang ramai adalah dengan menubuhkan beberapa program sebegini yang tidak memakan masa yang panjang, efektif, terus kepada penyelesaian masalah, memperbaiki kelamahan dan menambah nilai kepada seseorang yang menyertai.

Oleh itu, anda yang sedang membaca ini jangan sesekali melepaskan peluang ini!

 1) Program Bahasa Inggeris 1 Malaysia (BI1M)

Ini merupakan program kali kedua diadakan dan sebelum ini pelancaran sulungnya telah dilakukan pada tahun lepas iaitu 2016.

Disebabkan sambutan yang diberikan amat mengalakkan, ia masih diteruskan pembukaan program ini pada tahun ini. Setiap peserta yang mampu menghabiskan jadual jam pelajaran yang diberikan akan diberikan Sijil Pencapaian.

Berapa harga kursus BI1M ni? Program ini adalah PERCUMA untuk kesemua peringkat umur yang ingin belajar Bahasa Inggeris Komunikatif. Syarat dan kelayakannya bermula dari umur 7 tahun sehingga 77 tahun.

2) Kempen Memperkasa Malaysia Melalui Bahasa Inggeris

Ia bukan satu tindakan untuk mengetepikan Bahasa Melayu tetapi ia adalah untuk kepentingan kepada rakyat Malaysia sendiri.

Bahasa Inggeris merupakan bahasa universal untuk komunikasi ke seluruh dunia hari ini. Sebab itu ianya sangat penting untuk rakyat Malaysia menguasainya harini.

Ia ibarat seperti penggunaan Bahasa Melayu pada abad ke-16 dimana Bahasa Melayu digelar sebagai bahasa lingua franca yang menyamai taraf dan peranan Bahasa Latin & Bahasa Perancis di benua eropah dan menjadi bahasa perhubungan antarabangsa.

Penggunaan Bahasa Inggeris sangat penting untuk tujuan profesional dan peribadi. Jika mengikut kepada skop pekerjaan, kita mempunyai banyak tenaga pakar dari luar Negara dan salah satu cara untuk berkomunikasi dengan baik dengan mereka adalah melalui medium pengantara Bahasa Inggeris.

Kerajaan ingin memastikan Bahasa Inggeris menjadi bahasa kedua di Malaysia di mana setiap orang wajib menguasainya dan pada masa yang sama menjaga keindahan dan keistimewaan Bahawa Ibunda iaitu Bahasa Melayu.

Melalui penguasaan Bahasa Inggeris, rakyat Malaysia bukan sahaja dapat menambah nilai pada diri mereka bahkan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Cara bagaimana ia dapat menyumbang?

SOLS 24/7 adalah salah satu penyumbang pendidikan Bahasa Inggeris tidak rasmi yang terbesar dalam Negara ini. Mereka telah menubuhkan dan mengendalikan lebih daripada 60 pusat komuniti dan melatih 20,000 pelajar seluruh Negara.

Program BI1M akan dilaksanakan selama 5 bulan di 17 Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh Malaysia.  Dan pelancarannya untuk tahun ini akan dilancarkan di RTC Kelantan pada minggu hadapan.

3) Elemen Penting Yang Dibawa Oleh Program BI1M

a) Bahasa Inggeris untuk semua

Ia merangkumi dari peringkat umur iaitu dari umur 7 tahun sehingga 77 tahun.

Ia juga dipecahkan kepada beberapa bahagian kategori iaitu untuk kanak-kanak, remaja, suri rumah, di tempat kerja, komunikasi dua hala, kemahiran pembentangan, dalam penggunaan emel semasa kerja dan sebagainya.

b) Bercakap dengan yakin

Ketika anda melalui program ini, mereka ingin memastikan anda dapat bercakap Bahasa Inggeris dengan penuh keyakinan kerana metodologi yang dibawa sangat interaktif, menyeronokkan dan mudah diikuti.

c) Ruang Pembelajaran Positif

Mereka mewujudkan satu ruang dimana anda boleh hadir dan membaca buku-buku Bahasa Inggeris, berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dan berhubung dengan orang-orang tempatan.

Ia merupakan 3 elemen penting yang dijanjikan untuk anda selepas mula menyertai program BI1M ini.

4) Kursus yang ditawarkan

Sebelum anda menyertai program BI1M ini anda kene tahu beberapa perkara penting iaitu :

  • Ianya terbuka untuk rakyat Malaysia sahaja
  • Program separuh masa
  • PERCUMA (Tiada bayaran dikenakan)
  • Komitmen kehadiran 60%
  • Sijil pencapaian diberi setelah menamatkan program dengan jaya

Tawaran kursus :

  • Foundation English For Children (70Hours)
  • Foundation English For Youth (70Hours)
  • Foundation English For Adults (45Hours)
  • English For Housewives(70Hours)
  • English Communication For Work (35Hours)
  • English Conversation Class(30Hours)
  • English Work Email (7-10Hours)
  • English Presentation Class (15Hours)

Apabila dilihat dari segi pengisian dan isi kandungannya, Program Bahasa Inggeris 1 Malaysia ini merupakan satu program yang perlu diambil manfaatnya terutamanya bagi fresh graduate yang masih lemah dalam penguasan Bahasa Inggeris.

Anda boleh mendaftar di pejabat UTC / RTC di kawasan perumahan anda dengan membawa kad pengenalan dan mengisi borang ini.

Sebarang soalan lazim mengenai Program Bahasa Inggeris 1 Malaysia ini, boleh rujuk disini:

Soalan Lazim BI1M

Untuk mendapatkan sebarang info boleh terus rujuk laman sesawang Program Bahasa Inggeris Satu Malaysia.

Peluang sudah terbuka luas untuk anda. Sudah tiba masanya untuk anda ambil tindakan dan tambah kebolehpasaran diri anda mulai hari sekarang! 

Selamat Maju Jaya 🙂

 

Pendapat anda?
Share: