InspirasiKerjaya

Nak Jadi Pemimpin Yang Hebat? Ubah Diri Sebelum Nak Ubah Dunia

Nak Jadi Pemimpin Yang Hebat? Ubah Diri Sebelum Nak Ubah Dunia

Oleh YEOH LIN LIN

Baru-baru ini saya teruja sungguh dapat bertemu dan mendengar perkongsian kisah oleh Jana Stanfield, penyanyi album platinum dan pengubah lagu serta pengasas bersama Together, We Can Change the World (TWCCTW)

Beliau begitu bersemangat sekali menceritakan kerja-kerja yang dilakukan bersama organisasi beliau dalam menaik taraf kehidupan remaja perempuan dan kaum wanita yang kurang bernasib baik, khususnya di rantau Asia. 

Anggota-anggota TWCCTW menawarkan dana dan khidmat profesional mereka kepada organisasi yang terlebih dahulu disemak dengan teliti, yang menawarkan pendidikan dan latihan kemahiran sambil bekerja kepada golongan yang kurang bernasib baik ini, untuk membolehkan mereka hidup berdikari.

Apabila ditanya sebab-musabab yang membuatkannya memberi fokus pada kerja tanggungjawab sosial ini, beliau berkata:

“Kita selalu kata apabila kita menjadi jutawan, kita akan buat itu, ini. Ketika itu, saya sedang bercuti di Bali dan mendapati bahawa wang AS$100 saya adalah bersamaan berjuta-juta rupiah.

“Pada ketika itu, saya tersedar bahawa saya sememangnya sudah mencapai status ‘jutawan’! Jadi, apa lagi saya mahu tunggu? Di sana sini, saya ternampak insan-insan yang kurang bernasib baik, tidur di pinggiran jalan. Nasib mereka sungguh memeritkan hati saya.”

Titik peralihan itu dialaminya ketika berumur 40-an. Dan sejak itu, beliau, yang kini mencecah usia 60 tahun, akan melapangkan diri sekurang-kurangnya dua kali setahun, masing-masing selama dua minggu, untuk melawat projek-projek yang diusahakan TWCCTW bersama rakan-rakan kongsi yang lain, baik di  Kampuchea, Indonesia, Thailand, Myanmar atau mana-mana jua di rantau ini.

Seperti lirik dalam lagu gubahannya:

“Saya tak boleh buat semua kebaikan yang dunia perlukan
Tapi dunia perlukan semua kebaikan yang saya boleh buat.”

Nasihatnya, buatlah sedaya upaya yang kita boleh. 

Stanfield adalah antara 10 orang penceramah kepimpinan global pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia, anjuran bersama Leaderonomics Malaysia dan TWCCTW baru-baru ini. Persidangan sehari itu dihadiri oleh kira-kira 500 orang pemimpin dari pelbagai industri dan organisasi.

Beberapa cebis mutiara kata yang beliau kongsikan adalah seperti berikut:

1. Anda adalah pemimpin fikiran.

Di mana jua anda berada, orang lain akan mendengar percakapan anda. Adakah anda akan bercakap yang bukan-bukan, yang negatif? Atau adakah anda akan menjadi seorang yang berpengaruh dan yang memainkan peranan sebagai penyuntik inspirasi dan semangat? Keputusan adalah dalam tangan anda.

2. Minta bantuan.

Apabila anda merasa hampa dan remuk, dapatkan bantuan dan sokongan daripada seseorang yang boleh anda percayai. Jangan lalui pengalaman yang memedihkan seorang diri. Dan bersifat minda terbuka untuk menilai dan menerima pandangan dan bantuan yang dihulurkan.Tindakan meminta bantuan adalah tanda kekuatan.

3. Beranikan diri.

Adakah kerja yang anda buat sekarang kerja impian anda atau ia sekadar sumber pendapatan bagi anda? Anda perlu tanya sama ada dengan berbuat demikian, adakah anda merampas peluang daripada seseorang yang lain kerana anda tidak berani untuk mengejar kerja impian anda? Lepaskan kerja tersebut dan kejar kerja impian anda.\

Seorang lagi penceramah pada persidangan berkenaan ialah Paul Larsen, jurulatih transformasi peribadi dan penceramah yang berwibawa. Berikut adalah beberapa tip kepimpinan yang dikongsikannya:

#1 GetHuman.

Katanya, biarpun masa kini warga dunia memiliki teknologi yang canggih, tetapi hubungan antara kita semakin renggang.

“Kita duduk bersebelahan satu sama lain tetapi tidak menjalin hubungan. Yang kita asyik buat ialah berfokus pada telefon pintar dalam tangan. Semakin jarang kita bercakap sesama diri.

“Gejala ini langsung tidak sihat. #GetHuman (#JadiManusia)! Kalau tidak nanti, pupuslah pengalaman  sesama insan,” tegasnya.

#2 Cungkil suara sendiri.

Beliau juga mengajak hadirin supaya berhati-hati mengikut rentak kebanyakan. Yang dibaca dalam media sosial bukan semuanya tepat dan benar.

Nasihatnya, janganlah kita tersalah fikir, tersalah ikut. Sesat nanti. Rentak kebanyakan kadang-kadang bukan rentak yang betul. Biarlah hidup kita dipengaruhi mereka yang arif.

Kalau hendak muncul sebagai pemimpin yang berwibawa, kita mesti mempunyai suara sendiri. Banyak membaca, luas pengetahuan itu baik, tetapi kita mesti tahu menapis maklumat yang ada. Kita mesti mencari dan mempunyai suara sendiri. Jangan terlalu mengikut cara hidup orang lain. Tetapkan pendirian sendiri.

“Jangan biarkan kebisingan pendapat orang lain menenggelamkan suara dalaman milik anda. Yang paling penting, anda mesti berani mengikut kata hati anda.” ~ Steve Jobs

“Ini akan menetapkan diri anda sebagai pemimpin yang dinamik dan berpengaruh, bukan calang-calang pemimpin atau birokrat. Mula bina legasi anda sebagai pemimpin dengan menyuarakan keyakinan, keberanian, dan komitmen anda. Hidup terlalu singkat untuk tidak menggunakan suara anda,” katanya.

#3 Memberi respons, bukan tindak balas.

Menurutnya, kita usah takut membuat kesilapan. Yang penting adalah apakah respons, bukan tindakbalas, kita terhadap kesilapan itu. Apabila kita sedar kita sudah tersilap langkah, kita perlu berfikir masak-masak, dan mengambil langkah selanjutnya dengan tenang dan tidak agresif. Itu namanya sikap pemimpin yang hebat.

#4 Kita bukan salinan orang lain.

Satu lagi kata nasihat Larsen adalah kita mesti ingat kita dibentuk secara asli bukan salinan seseorang yang lain. Jadi, kita perlu mencungkil keunikan kita. Tetapi bukan sekadar menjadi unik, kita mesti juga berguna. Berguna untuk melahirkan penambahbaikan dalam hidup kita, komuniti sekeliling kita dan dunia kita. Tepuk dada dan tanya diri ‘apakah sumbangan saya kepada dunia ini?

Terbitan asal: LeaderonomicsBM

Pendapat anda?
Share: