Kerjaya

5 Keperluan Untuk Dibawa Semasa Temuduga

keperluan-untuk-dibawa-semasa-temuduga

Anda pernah terfikir tentang barang-barang keperluan untuk dibawa semasa temuduga? Bukan setakat dokumen resume saja yang kena ada tau, barang-barang sampingan yang boleh membantu anda bila tiba ‘waktu kecemasan’ juga penting untuk dibawa sekali.

Barang-barang yang akan admin senaraikan ni mudah sahaja untuk didapati, dekat rumah anda sendiri pun ada barang-barang kecil ni.

Bak kata pepatah, “Kecil-kecil cili padi”. Nampak je kecil dan tak penting, tapi inilah barang yang akan bantu anda di hari temuduga nanti.

Ini Adalah Di Antara Keperluan Untuk Dibawa Semasa Temuduga

1. Pastikan Bateri Telefon 100%

Sebelum keluar dari rumah, pastikan bateri telefon anda telah di cas penuh terlebih dahulu. Bukan apa, silap haribulan tiba-tiba jalan nak ke tempat temuduga sesak.

Mula lah sampai lambat ke tempat temuduga. Jadi, kegunaan telefon bimbit anda itu adalah dikala waktu-waktu kecemasan seperti kesesakan lalu lintas.

Sementara menunggu untuk sampai ke tempat temuduga, maklumkan terlebih dahulu kepada syarikat yang berkenaan tentang keadaan anda yang sebenar.

Ini supaya mereka tidak menganggap anda tidak dapat menghadirkan diri untuk ditemuduga pada hari yang tersebut.

2. Sediakan Gula-Gula Mentos

Sebelum meneruskan perjalanan ke tempat temuduga, anda pasti akan bersarapan di rumah atau di kedai-kedai makan luar terlebih dahulu kan?

Seperti biasa, selepas makan mulut kita pasti akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan setiap kali bercakap.

Ingat, jangan ambil ringan tentang soal bau mulut. Sesetengah penemuduga juga akan menilai tahap kebersihan anda. Terutamanya apabila anda mula membuka mulut untuk menjawab soalan-soalan yang diberi.

Jadi, sediakan gula-gula mentos di dalam beg anda supaya anda dapat menyegarkan bau mulut anda dengan segera. Setidak-tidaknya kerisauan anda akan berkurangan.

3. Sediakan Wang Tunai

Sebelum keluar dari rumah, pastikan anda membawa dompet anda bersama. Jangan terbawa dompet kosong pula ya. Pastikan dompet anda mempunyai duit yang mencukupi.

Sesetengah orang tidak melihat dompet sebagai perkara yang penting untuk dibawa bersama sewaktu menghadirkan diri untuk ditemuduga. Kenapa dompet dan wang tunai penting?

Ini kerana, nanti anda boleh asingkan siap-siap duit untuk membayar tempat letak kereta anda atau tambang public transport. Tidaklah nanti anda menjadi kelam kabut sebab terlupa nak bawa duit bersama-sama. 

4. Cermin Muka

Cermin muka? Apa kaitan cermin muka dengan anda yang nak pergi temuduga? Kaitannya adalah cermin muka boleh membantu anda untuk touch-up balik muka anda sebelum masuk ke tempat temuduga.

Jadi, anda tak perlu buang masa untuk pergi ke tandas semata-mata untuk touch-up muka anda.

Kalau tandas dekat boleh la, kalau tandas tu jauh macam mana? Mana tahu, anda sesat dan terlambat pula untuk masuk ke tempat temuduga. Habislah nanti melepas jawatan yang anda impikan tu dekat tangan orang lain.

Tips ni admin bukan tujukan untuk perempuan saja tau, apa salahnya kalau anda seorang lelaki? Setakat bawa cermin muka untuk rapikan diri sendiri tidak menjadi masalah.

Lihat Juga: [ 5 Tips Mudah Untuk Anda Berfikir Secara Kreatif ]

5. Deodorant 

Fungsi deodorant adalah untuk menyegarkan ketiak anda dan mengurangkan bau badan anda. Jadi, sebelum melangkah ke tempat temuduga, pastikan anda memakai deodorant supaya bau badan anda tidak menganggu keselesaan orang lain semasa sesi temuduga nanti.

Bau badan juga penting untuk dititikberatkan kerana ianya akan melambangkan anda adalah seorang yang pembersih atau sebaliknya.

Jangan lupa untuk bawa deodorant kemana saja anda pergi. Senang kalau-kalau anda terlupa untuk memakainya di rumah pada hari temuduga nanti. 

Admin harap tips-tips keperluan untuk dibawa semasa temuduga yang dikongsi ni sedikit sebanyak dapat membantu anda semua dalam mempersiapkan diri sebelum tibanya hari yang ditunggu-tunggu. Semoga berjaya!

Sumber : themuse.com

Pendapat anda?
Share: