Kerjaya

Betul ke BIASISWA Menjanjikan Peluang Kerjaya Selepas Tamat Belajar?

Betul-ke-BIASISWA-Menjanjikan-Peluang-Kerjaya-Selepas-Tamat-Belajar

“Okay ke nak apply biasiswa yang bond kita kerja dengan diorang bila habis belajar”

Secara definisi, biasiswa adalah tajaan pembelajaran yang diberikan kepada para pelajar yang layak, secara percuma, merangkumi elaun bulanan, elaun kapal terbang, elaun computer, elaun thesis dan sebagainya (bergantung kepada biasiswa).

Dan biasiswa kebiasaannya akan “mengikat” anda setelah anda tamat belajar di universiti. Ingat, bukan saja-saja agensi/organisasi memberi anda duit secara percuma ya. Mereka akan meletakkan syarat untuk anda berkhidmat bersama syarikat mereka untuk tempoh masa tertentu (3 – 10 tahun).

Contoh biasiswa yang mewajibkan anda berkhidmat dengan anda ialah, Petronas, Sime Darby, Yayasan Tenaga Nasional dan JPA.

Persoalannya, adakah penting untuk mencari tajaan belajar yang menjanjikan pekerjaan setelah tamat pembelajaran universiti anda? Ini soalan yang rata-rata para pelajar akan bertanya kepada saya.

Hal ini kerana, dengan keadaan ekonomi sekarang, peluang pekerjaan amat tipis untuk didapati di dalam semua sektor. Jadi anda sebagai para pelajar universiti/lepasan universiti perlu ambil tahu soal ini kerana ini melibatkan masa depan anda sendiri!

Di sini, saya akan memberi sedikit tips untuk anda sebelum anda memohon biasiswa yang meletakkan syarat untuk anda berkhidmat bersama mereka:

1. “Aim” apa yang anda akan lakukan setelah tamat belajar

Pastikan anda tahu apa yang akan anda lakukan selepas tamat belajar (Degree) kelak. Ada sesetengah yang mahu membuka perniagaan sendiri (sebagai contoh, online business), dan ada juga yang mahu menyambung pengajiaan di peringkat lebih tinggi (Master, PhD).

Untuk makluman, selepas anda tamat belajar (Ijazah Pertama/Degree), anda wajib bekerja bersama syarikat yang menaja anda waktu belajar dahulu. Anda tidak boleh menyambung pengajian anda ke peringkat yang lebih tinggi!

Kecuali, dengan persetujuan syarikat/penaja anda. Anda boleh menghantar surat untuk menyambung pengajian kepada pihak penaja (appeal letter). Kebiasaannya, penaja akan meminta anda berkhidmat untuk mereka untuk beberapa tahun sebelum memberi anda pelepasan melanjutkan pelajar ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

Jarang anda akan mendapat pelepasan untuk pengajian sepenuh masa. Tetapi ingat, banyak faktor yang membolehkan anda tidak layak melanjutkan pelajar selepas tamat belajar kerana anda telah menandatangani kontrak untuk berkhidmat untuk penaja semasa zaman belajar dahulu.

Jika anda para pelajar universiti, atau lepasan sekolah yang bercadang untuk menyambung pengajian sehingga peringkat Master ataupun PhD, biasiswa yang mewajibkan anda berkhidmat selepas taman Ijazah Pertama adalah tidak disarankan.

2. Bekerja dengan “field” lain

Pihak penaja mungkin akan meminta anda bekerja bersama mereka di “department” yang lain. Sebagai contoh, anda merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan, akan tetapi pihak penaja meminta anda bekerja di “department” Sales & Marketing buat sementara waktu.

Anda sebagai pemegang biasiswa mereka, perlu mematuhi arahan ni. Hal ini kerana, pihak penaja mempunyai kuasa untuk arahan itu. Kesan kepada anda sebagai pelajar jurusan Kejuruteraan, mungkin tidak dapat mempraktikkan apa yang anda belajar di universiti, di dalam sektor pekerjaan. Dan ada keberangkalian, anda akan tersekat di sektor yang sama, selama-lamanya.

3. “Waiting list”

Pihak penaja menjanjikan anda akan bekerja dengan syarikat mereka setelah tamat belajar, sesuatu yang sangat bagus, bukan! Tetapi ingat, sesebuah syarikat akan sentiasa mempunyai para pekerja yang mencukupi. Akan terjadi di mana, syarikat tidak mampu memanggil para pelajar masuk bekerja di dalam syarikat mereka kerana tiada kekosongan.

Tetapi, bukan bermakna anda tidak akan bekerja bersama mereka. Cumanya, anda perlu menunggu untuk sesuatu tempoh masa sebelum diserap masuk ke dalam syarikat mereka. Kebiasaannya, tempoh yang perlu anda menunggu ialah 1 bulan hingga 2 tahun, atau lebih, bergantung kepada kekosongan di dalam syarikat itu.

Walaubagaimanapun, pihak penaja akan memberi kebebasan untuk anda bekerja di syarikat lain terlebih dahulu selepas tamat belajar sebelum mereka (pihak penaja) memanggil anda untuk berkhidmat kembali dengan syarikat mereka.

Ada kes di mana, pemegang biasiswa bekerja dengan syarikat lain selama 1-3 tahun, sebelum bekerja kembali dengan syarikat penaja mereka untuk menunaikan janji mereka (bond).

Ingat, biasiswa yang menjanjikan pekerjaan tak semesti memberi peluang pekerjaan kepada anda sehari selepas anda tamat pengajian ya! Anda mungkin akan dimasukkan ke dalam “waiting list” mereka.

4. Tidak menjanjikan peluang pekerjaan selepas tamat belajar.

Sesetengah penaja akan memberi anda “peluang” untuk mencari pekerjaan lain, tanpa perlu membayar apa-apa wang yang pihak penaja beri kepada anda semasa anda belajar dahulu. Ini mungkin terjadi kerana kekosongan di dalam syarikat penaja adalah “limited” dan terlalu lama di dalam “waiting list” mereka.

Dengan memberi anda peluang mencari pekerjaan lain, ini adalah jalan penyelesaian yang paling mudah, tetapi rugi buat mereka. Kenapa rugi? mereka telah “invest” duit syarikat mereka kepada anda untuk membentuk anda menjadi pekerja mereka kelak.

Tetapi, ada baiknya juga. Anda sebagai pemegang biasiswa mereka, mempunyai pilihan untuk tidak bekerja dengan mereka dan boleh buat apa yang anda suka, seperti menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Yay!

Kesimpulan

Di sini, saya tekankan, saya bukan cuba untuk memburukkan mana-mana biasiswa yang menjanjikan peluang pekerjaan setelah tamat belajar. Saya cuma menjelaskan kemungkinan perkara yang akan anda hadapi kelak selepas mendapat pekerjaan pertama anda.

Nasihat saya di sini, pilih biasiswa yang anda betul-betul yakin tentang latar belakang syarikat pihak penaja sebelum memohon. Zaman belajar seronok menerima wang setiap bulan, tetapi merana di kemudian hari. Ingat tu.

 

Pendapat anda?