Inspirasi

Anak Muda Berusia 14 Tahun Ini Menjual Lukisannya Dengan Harga RM2500 Sebuah!

Baru-baru ini heboh mengenai seorang anak muda berbakat yang berusia 14 tahun yang mampu menjana pendapatan RM2,500 untuk sebuah lukisan!

Hebat bukan? Anak muda berbakat ini bernama Naim Hamid Hamidin merupakan salah seorang pelajar sekolah Seni Malaysia di Johor Bahru. Minatnya yang mendalam dalam melukis datang daripada sejak dia kecil lagi.

Sini saya ingin kongsikan cerita yang dibawakan khas oleh team Harian Metro kepada anda. Kisah ini merupakan satu inspirasi yang besar untuk para pembaca sekalian.

Mari ikuti cerita dibawah :

Kisahnya bermula daripada bapanya Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, 80 peratus daripada pendapatan lukisan anaknya disimpan untuk tabung pendidikan anaknya, sementara 20 peratus lagi disumbangkan kepada badan kebajikan.

Hamidin yang bertugas di Universiti Malaya berkata, walaupun anaknya menerima banyak tempahan, namun beliau dan isterinya Faizah Bazid tidak mahu membebankan anaknya kerana dia masih bersekolah.

“Buat masa ini kami menerima tempahan dari rakan-rakan terdekat atau mereka yang beminat dengan hasil lukisan Naim,” katanya pada pameran lukisan sulung anaknya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, ramai yang kagum dengan kemampuan anaknya yang ketika berusia 10 tahun sudah mahir melukis pelbagai jenis lukisan termasuk potret dan pemandangan dengan menggunakan cat minyak, cat air dan arang.

Hamidin berkata, beliau dan isteri menyokong penuh minat anak mereka dalam bidang lukisan dan tidak akan menghalang sekiranya Naim ingin menyambung pengajian dalam bidang itu.

“Pada saya bakat yang kita ada jangan dibazirkan. Buat apa yang kita suka. Tidak mustahil ia boleh bantu kita, sebagai contoh dalam menjana pendapatan,” katanya.

Pendedahan Untuk Naim

Bagi mendedahkan anaknya dengan liku-liku hidup sebagai seorang karyawan, beliau telah mengadakan pameran khas untuk anaknya.

“Pameran ini lebih untuk mendedahkan kepadanya dunia artis sebenar di samping menyokong dan memperkenalkan dia dan lukisannya kepada kenalan dan pengunjung,” katanya.

Hamidi juga bercadang untuk mengadakan pameran lukisan bersama pelukis muda supaya bakat-bakat mereka dapat diketengahkan.

Bagi Naim, melukis adalah satu yang menyeronokkan dan “bila melukis saya tidak bosan. Dalam kelas pun saya banyak melukis dan menconteng. Bila melukis saya cuba pastikan apa yang saya lukis itu menyerupai apa yang asal.”

Apabila ditanya mengenai cita-citanya, anak kedua daripada empat orang adik beradik itu berkata, antara cita-citanya adalah untuk menjadi pelukis animasi yang dikenali.

Mengenai pemilihannya menyertai Pesta Buku Kebangsaan Riyadh 2017 baru-baru ini, ibunya berkata nama Naim mula menjadi sebutan untuk mewakili negara sebagai pelukis muda apabila Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menyedari bakatnya menerusi media sosial.

“Setiap kali lepas Naim melukis, saya akan memuat naik hasil lukisannya di Facebook dan kawan-kawan saya dari ITBM yang nampak dan mencadangkan nama Naim.

Kebetulan tema pameran pada waktu itu adalah bakat muda, jadi rezeki Naim terpilih ke sana,” katanya.

Naim bukan sahaja diberi penghargaan untuk melukis tirai latar untuk pavilion Malaysia di pesta buku itu, tetapi turut diminta penganjur untuk melukis potret Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Sumber gambar : FB Rakan ITBM 

Lukisan tersebut telah sampaikan kepada Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr Adel Zaid Altoraifi untuk disampaikan pula kepada Raja Salman.

Saya sangat tertarik mengenai cerita saudara Naim ini. Beliau telah menunjukkan jika kita mempunyai minat dan keinginan yang tinggi dalam mencapai sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalang perjalanan itu.

Walaupun ia berusia 14 tahun, tapi itu bukan suatu perkara untuk menghalang beliau untuk menunjukkan bakatnya yang terpendam.

 

 

Pendapat anda?