Umum

8 Tips Memohon Biasiswa Apabila Menyambung Belajar Di Universiti

8-Tips-Memohon-Biasiswa

Keputusan SPM 2017 bakal diumumkan pada 16 Mac nanti, saya yakin, adik-adik yang telah menduduki peperiksaan tersebut mesti sangat teruja untuk mengetahui hasil penat lelah belajar selama 11 tahun. 

Yang lagi proaktif, mesti dah mencongak-congak nak sambung belajar di universiti mana dan dalam jurusan apa. Tak kisahlah di universiti dan jurusan apa pun, bila dah dapat tawaran nanti, dalam fikiran ni mesti, akan terlintas:

“Permohonan kemasukan ke universtiti dah dapatlah. Alhamdulillah! Tapi…macam mana nak cari bantuan kewangan untuk tampung kehidupan belajar kat univesiti nanti?”

Dah la stress nak hadapi kuliah, ni nak tambah stress fikirkan kewangan pulek? Biasalah tu. Hidup sebagai seorang belia kenalah ada daya survival yang tinggi dan berani tempuhi kehidupan ni. Chill lah, sebab harini saya nak kongsikan tips memohon biasiswa bila kat universiti nanti. (Horay!)

1) Lakukan Kajian

Laburkan sedikit masa untuk lakukan kajian kerana terdapat pelbagai institusi sama ada institusi kerajaan atau pun swasta yang menawarkan pelbagai jenis bantuan kewangan dalam bentuk dermasiswa, pinjaman atau pun biasiswa.

Korang boleh layari web seperti afterschool, biasiswa info, biasiswakini untuk mengetahui informasi dan perkembangan terkini tentang sebarang maklumat biasiswa daripada pelbagai institusi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sime Darby, Petronas, Yayasan Daya Diri dan banyak lagi!

Kena kaji betul-betul siapa yang tawarkan biasiswa tu, sama ada biasiswa untuk belajar di dalam atau pun luar negara, tempoh dan liputan tajaan biasiswa dan banyak lagi. Senaraikan semua maklumat ini dan fokuskan yang menepati ciri-ciri dan jurusan yang diambil.

2) Pohon Spesifik atau Kesemuanya?

Orang cakap ‘sediakan payung sebelum hujan’, maka sebaik-baiknya, pohonlah paling kurang tiga biasiswa daripada institusi yang berbeza. Jadikan satu permohonan sebagai fokus utama dan dua permohonan lagi sebagai pelan sandaran.

Tiga permohonan rasanya sudah memadai tapi kalau nak mohon lebih daripada tiga pun boleh, cuma kena betul-betul mendalami informasi kesemua biasiswa yang dipohon, takut tak fokus semua, jadilah macam orang cakap ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

3) Gred Kuliah yang Baik

Ini adalah amat penting, yang terpenting antara yang penting. Hampir semua penawaran biasiswa akan memberikan syarat memerlukan gred sekiranya layak untuk memohon biasiswa berkenaan.

Sama ada lepasan SPM atau pun sudah belajar di universiti, kena dapat dan kekalkan gred yang baik untuk berikan kita dapatkan ‘headstart’ dalam perlumbaan untuk mendapatkan biasiswa ni.

Ada biasiswa yang menggunakan gred SPM, biasiswa begini biasanya boleh dipohon selepas dapat tawaran universiti dan ada biasiswa yang mahu melihat dahulu prestasi gred di universiti, biasiswa begini biasanya hanya boleh dipohon setelah sekurang-kurangnya satu semester selepas belajar di universiti.

4) Penglibatan dalam Aktiviti Kurikulum Tambahan

Penglibatan dalam aktiviti seperti kerja-kerja sukarelawan, program pertukaran, kepimpina dan pelbagai lagi aktiviti kurikulum tambahan bukan sahaja pengalaman yang baik dan usaha untuk memberi semula kepada masyarakat, malahan aktiviti-aktiviti ini sudah menjadi sebahagian daripada proses pemarkahan untuk penawaran biasiswa.

Daripada kaca mata penganugerah biasiswa sendiri, saya berpendapat, dengan penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, seorang pelajar mempunyai GPA 3.48 dengan pengalaman kesukarelawanan mungkin dilihat lebih bernilai daripada seorang pelajar yang mempunyai GPA 4.00 tanpa sebarang penglibatan dalam aktivti ko-kurikulum.

5) Resume dan Penyata Tujuan

Sesetengah penawaran biasiswa, meletakkan syarat untuk menyertakan resume untuk memudahkan proses penyaringan. Disini, kreativiti dan kecerdasan pemohon, meringkaskan kelebihan dan kekuatan untuk menonjolkan diri.
Banyak artikel-artikel Job Kartel sebelum ni menyentuh peri pentingnya teknik penyampaian resume ini. Boleh buat semakan disini bagaimana untuk membuat winning resume.

Selain itu, ada penawaran biasiswa yang mensyaratkan pemohon untuk menulis penyata tujuan yang bertujuan untuk menilai pengetahuan, semangat kecintaan (passion) dan keikhlasan pemohon. Dalam penyata tujuan, pemohon diminta untuk kupas pelbagai topik daripada pengetahuan umum dan isu-isu semasa.

Antara topik yang biasanya ditanyakan adalah seperti anda perlu menjelaskan mengapa anda memilih jurusan yang dipilih dan macam mana dengan ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan.

 

JobKartel Universiti

6) Bersedia untuk Temuduga

Selepas saring kertas permohonan, untuk peringkat seterusnya biasanya pemohon akan dipanggil untuk sesi temuduga. Tiada banyak perbezaan pun temuduga kerja dengan temuduga biasiswa ni. Tujuannya masih untuk menilai ciri-ciri pemohon dengan lebih lanjut.

Kebiasaanya dalam temuduga biasiswa ni pemohon akan diminta secara ringkas untuk menerangkan latar belakang, cabaran dan penyelesaian situasi dan pengalaman hidup.

Kena betul-betul perah otak untuk fikirkan pengalaman hidup dan cari cara terbaik untuk persembahkan pengalaman tersebut.  Teknik terbaik adalah dengan hanya menjadi diri sendiri dan jujur.

Selain itu, kena perkasakan diri dengan ilmu. Selain pengetahuan umum dan isu-isu semasa, biasanya pemohon akan diajukan soalan berkenaan institusi yang menganugerahkan biasiswa tu.

Contohnya jika dapat temuduga biasiswa TNB, jadi, lengkapkan diri dengan ilmu tentang apa bisnes TNB, sejarah, ahli lembaga pengarah, isu semasa berkaitan TNB dan sebagainya.

7) Gagal? Jangan Berputus Asa, Teruskan Mencari!

Perlumbaan untuk mendapatkan biasiswa memang sengit! Kuota yang ditawarkan ada kecil dan hanya sebahagian yang terpilih sahaja yang akan berjaya. Kepada yang gagal, nasihat cuma satu, gagal dapatkan biasiswa bukan bermakna gagal dalam kehidupan.

Peluang sentiasa ada, jangan berputus asa dan teruskan mencari! Ada yang berjaya semasa memohon di semester yang pertama, ada yang berjaya semasa memohon pada tahun yang kedua. Kuncinya: sentiasa mencuba (usaha) dan cuba-cuba (nasib).

8) Tukarkan Pinjaman kepada Biasiswa!

Akhirnya kalau tidak berjaya dan biasanya, pelajar akan memohon pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tapi ‘setiap perkara ada hikmahnya’, apa kata belajar aje elok-elok dan dapatkan keputusan yang terbaik.

Maksud terbaik disini, adalah mencapai sekurang-kurangnya kepujian kelas pertama, sebab nanti boleh dapatkan pengecualian pembayaran balik pinjaman PTPTN sekiranya berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian kelas pertama. Tak percaya? Boleh semak web PTPTN disini.

Tanpa bantuan kewangan yang kukuh, kehidupan sebagai seorang pelajar universiti memang mencabar. Selain biasiswa, ada juga teknik lain untuk dapatkan kewangan untuk tampung kehidupan di universiti.
Universiti bukan hanya tempat belajar jurusan yang khusus, tapi juga tempat korang nak belajar tentang kehidupan ni.

Buka mata, buka minda dan belajar sedalam-dalamnya. Selamat menempuhi kehidupan sebagai seorang pelajar universiti dan semoga ilmu dan pengalaman yang ditimba dapat menjadikan korang manusia yang lebih baik!

Pendapat anda?